Kematian Suraya Memberi Iktibar
Written on 13.04 by محمد افيس

Ternyata pembedahan selama empat jam itu berlangsung dengan sempurna malah Suraya sudah mampu membuka matanya. Namun entah di mana silapnya, dia tiba-tiba koma.
“Inilah yang membuat hati saya sedih sehingga kini. Ternyata kata-katanya agar saya menjaga anak-anak dengan baik memberi petanda bahawa dia akan pergi meninggalkan saya," demikian kata Khairul ketika ditemui.
Khairul penulis temui ketika dia mem- bawa anak-anaknya ke taman permainan. Dari jauh, penulis perhatikan, dia duduk merenung jauh dan anak-anak hanya menjerit memanggilnya papa tanpa dihiraukannya. Sesekali, dia mengesat air matanya. Namun tatkala anaknya terjatuh dan dia seolah-olah masih berada di alam lain, penulis pantas membawa anaknya yang menangis ke arahnya. Dari situ, perkenalan dicipta dan dalam satu pertemuan lain, Khairul mengaku selepas pemergian isterinya, hidupnya tidak tentu arah.
Jelas duda ini, dia tidak menyangka bahawa hidupnya akan kesunyian selepas ditinggalkan tanpa sebarang kata daripada isteri tersayang. "Saya benar-benar menyintainya. Dia cinta pertama dan terakhir saya," luahnya sambil menahan sebak di hati. Menyingkap kisah kehidupannya, Khairul berkata, dia bertemu isterinya ketika mereka sama-sama menuntut di luar negara. Malah mereka berkahwin di sana demi mengelakkan berlaku kemungkaran.
"Kami berusaha membina rumah tangga yang bahagia dan saya memperoleh rasa bahagia itu. Namun kadangkala bila diuji dengan kesenangan, saya dan isteri mula sedikit alpa. Dalam kehidupan mewah ini, kami terikut-ikut dengan budaya Barat yang menghalalkan semuanya. Kalau dahulu, kami tidak pernah menyentuh arak yang haram tetapi demi desakan perniagaan, kami melakukannya.
Ada juga isteri tidak mahu tapi saya katakan kepadanya bahawa dia mesti melakukannya demi perniagaan kami. Memang benar, kami hidup senang dan mewah tambahan pula kredibiliti isteri dengan perwatakan tegas, dinamik, berwibawa dan sebagainya membuatkan klien memberi kepercayaan kepada syarikat kami. Malah kami memperkembangkan syarikat ke luar negara juga dan memperoleh untung," katanya sambil menambah, semakin kaya dengan harta dunia, dia dan isterinya semakin lupa kepada pencipta-Nya.
Silap besar
"inilah kesan dan akibat yang perlu kami tanggung. Rupanya tabiat meminum dan makan makanan yang tidak halal membawa kesan kepada kesihatan. Namun saya ingatkan, pembedahan ini tidak mempunyai apa-apa risiko tapi saya tersilap besar kerana ia membuatkan isteri pergi meninggalkan saya selama-lamanya," katanya dalam nada sugul.
Jelas Khairul lagi, selepas Suraya pergi meninggalkan dia dan anak-anak, satu perasaan halus menyusup di hatinya. Kalau dahulu, dia begitu leka dengan soal dunia tetapi kini dia telah kembali mengamalkan ajaran diajar Nabi Muhammad, berpegang kepada al-Quran sebagai kitab panduan dan sebagainya. “Dahulu, saya memang jahil. Saya beranggapan bahawa duit mampu membeli segala-galanya. Saya fikirkan, kalau kita ada duit, orang akan hormat, orang akan tunduk dan sebagainya. Memang kami mampu membeli orang dengan duit dan itu yang pernah kami lakukan. Banyak juga tender yang kami peroleh dan semuanya dengan menggunakan cara belakang.
“Dan kami sebenarnya sangat lupa bahawa apa saja yang kita makan dengan duit yang haram, ia akan menjadi darah daging kita selama-lamanya. Sejak Suraya pergi, saya benar-benar insaf dengan apa yang terjadi. Benarlah kata orang menyesal tiada gunanya tapi bagi saya, saya telah mendapat pengajarannya. Kini saya lebih banyak mendekatkan diri kepada Allah, menyucikan kembali hati yang telah kotor dan menjaga anak-anak mengikut al-Quran dan sunnah," demikian katanya.
Ditanya tentang perkahwinan lain, Khairul menjelaskan, dia tidak begitu memikirkannya lagi sebaliknya mahu mengabadikan diri kepada Allah SWT. "Biarlah jodoh datang sendiri, saya berharap kalau ada pun, biarlah wanita yang solehah," katanya jujur.
